Tip Dan Panduan Mencegah Diabetes


Bila memasuki usia 40an, pemakanan kita memang perlu dijaga.  sedangkan sepatutnya dari usia muda lagi kita perlu jaga pemakanan kita untuk elak penyakit yang berisiko tinggi.  Penyakit Diabetes sebenarnya boleh dicegah dan salah satu cara yang terbaik ialah dengan mengamalkan tabiat makan yang sihat dan melakukan aktiviti fizikal secara tetap.

Dan yang paling membimbangkan penyakit Diabetes sudah mula wujud  dikalangan remaja dan kanak-kanak. Diabetes menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan seperti penyakit kardiovaskular, buta, kegagalan buah pinggang, penyakit saraf dan amputasi kaki dan tangan.


Saya akan kongsikan beberapa Tip Dan Panduan Mencegah Diabetes, semoga ia dapat membantu anda.

Masak Secara Bijak

Disamping kita mengamalkan pemakanan yang seimbang, sederhana dan pelbagai. Penyediaan dan cara memasak juga penting, anda digalakkan untuk mengukus, memanggang, membakar di dalam ketuhar atau melayur (mencelur) masakan anda dan boleh lah sesekali menggoreng.


Makan Di Luar

Kebanyakan dari kita sibuk dengan kerjaya dan menyebabkan kita lebih selesa makan diluar dari masak sendiri di rumah. Jika makan diluar, sebaik-baiknya lebihkan makanan seperti sayur-sayuran, buah, bijirin, bijirin penuh dan ikan yang membekalkan kurang kalori tetapi mengandungi lebih nutrien. Memandangkan keadaan ekonomi yang semakin mencabar, apakata kita lebihkan masak di rumah yang mana lebih jimat dan kebersihannya terjamin.




Kurangkan Makanan Yang Tidak Sihat

Pengambilan gula yang berlebihan boleh menyebabkan kenaikan berat badan dan obesiti dan meningkatkan risiko terhadap diabetes. Cuba kurangkan pengambilan gula dengan

1. Beransur-ansur berhenti menggunakan gula di dalam masakan.

2. Kurangkan pengambilan kuih-muih dan bahan makanan yang penuh dengan gula.

3. Pilih pencuci mulut (kuih-muih dan kek) dalam saiz sajian kecil atau menggantikannya dengan pilihan yang lebih sihat seperti buah.

4. Pilih air kosong berbanding minuman berkarbonat atau yang mengandungi gula (seperti minuman ringan. sirap dan kordial)

5. Hadkan penambahan gula pasir, susu pekat manis atau susu isian sejat manis kepada satu sudu teh bagi setiap cawan.

6. Elakkan mengambil makanan atau minuman yang mengandungi gula di antara waktu makan dan hampir dekat waktu tidur.


Makan Pada Waktu Tetap

Amalkan makan semua hidangan utama (sarapan, makan tengahari, makan malam) pada waktu makan yang tetap dan elak dari tinggalkannya. Jika anda terasa lapar ganti dengan air kosong, makan buah atau biskut oat.


Kekal Aktif

Haa bab bersenam ni ramai yang surrender betul tak?
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa sekitar 1/3 daripada kes diabetes disebabkan oleh tidak aktif secara fizikal. Sebenarnya dengan hanya mengurangkan berat badan sebanyak 5% dan diikuti dengan senaman berintensiti sederhana boleh membantu mengurangkan risiko diabetes jenis 2 lebih daripada 50%. Okey sahabat semua kita mula aktif dari sekarang, mulakan dengan melakukan aktiviti fizikal berintensiti sederhana seperti berjalan pantas, berjoging, berenang sekurang-kurangnya 30 minit dan lima kali seminggu.


Kebanyakan dari kita sudah berkahwin dan mempunyai anak-anak apakata kita mulakan pencegahan dengan lebih awal iaitu sejak anak-anak kita masih kecil. Statistik menunjukkan peningkatan prevalen diabetes sebanyak tiga kali ganda dikalangan mereka yang berumur diantara 18 hingga 35 tahun dalam tempoh 15 tahun yang lepas. Anak-anak kita digalakkan untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan meningkatkan aktiviti fizikal dan makan secara sihat. Peranan kita sebagai ibubapa ialah

1. Menjadi model peranan bagi anak-anak. Jika kita menjalani kehidupan yang sihat, anak-anak juga akan mengikut jejak kita.

2. Membimbing dan membantu anak-anak untuk membuat pilihan makanan yang sihat.

3. Memberi peluang yang cukup untuk aktiviti fizikal dan menggalakkan aktiviti luar bagi seluruh keluarga seperti bermain ditaman, sukan rekreasi atau berjalan pantas. Cabaran zaman sekarang ialah cuaca seperti jerebu, kebanyakkan ibubapa pulang menjelang senja semasa hari bekerja, anak-anak leka dengan gadjet yang menghadkan aktiviti fizikal diluar rumah.

4. Melibatkan anak-anak dalam merancang, membeli-belah makanan dan juga semasa memasak makanan.

5. Melibatkan anak-anak dalam melakukan kerja-kerja rumah.


Mencegah itu adalah lebih baik dari mengubat. Kerana Diabetes adalah penyakit yang mahal. Ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan kita malahan juga ekonomi keluarga kita. Sama-samalah kita menjaga kesihatan diri dan keluarga kita. Nabi juga telah berpesan berhenti makan sebelum kenyang.


Salam sayang dari saya SID Shaklee anda

Email : arnisyazila@gamil.com
Whatsapp/Telegram/SMS : 010-2995619

Labels: